Sunday, June 7, 2009

Comfirm sudah!

Rap (mingguan metro 7/6/09)

PEMINAT novel terlaris pertengahan 1980-an, Legenda Budak Setan, pasti teruja apabila melihat watak Kasyah diterjemahkan ke filem diiringi watak kekasih pujaannya, Ayu.
Selepas sekian lama kekurangan filem adaptasi daripada novel, kini Astro Shaw dengan kerjasama Nusantara Films dan Tarantella Pictures mengambil jalan bernas ke arah itu.

Dibintangi Farid Kamil yang membawa watak Kasyah, Lisa Surihani (Ayu) selain pendatang baru Shiqin Kamal yang membawa watak Ayu kedua iaitu Emilia.Turut menjayakan ialah Que Haidar, Fazura, Raja Farah, Nubhan, Zoey dan Syed Nabil dan diarahkan Sharad Sharan, pengarah berpengalaman yang pernah mengarahkan filem Diva sebelum ini.

Legenda Budak Setan mengisahkan pelajar nakal yang sering membuli pelajar lain, namun dalam sifat nakal itu berjaya menyentuh hati seorang gadis bernama Ayu yang membuatkan Kasyah berubah lalu membibitkan percintaan.Namun, perjalanan cinta mereka tidak semudah disangka apabila berlaku konflik mengaitkan keluarga sehingga Ayu terpaksa dinikahkan dengan orang lain dan mengalami masalah penderaan jiwa kerana suaminya panas baran.

Peminat novel trilogi ini pasti faham jalan cerita olahan penulisnya, Ahadiat Akasyah yang bertindak sebagai penulis skrip. Namun, bukan mudah memindahkan novel ke filem kerana selalunya novel diolah lebih teliti berbanding filem yang hanya mempunyai dua jam untuk menyampaikan keseluruhan cerita.Ternyata, itulah cabaran yang terpaksa ditanggung seluruh warga kerja produksi, termasuk pengarah dan pelakon, yang rata-rata mengambil masa meneliti setiap watak melalui pembacaan novel itu.

Sewaktu ditemui di lokasi penggambaran di Pulau Langkawi baru-baru ini, Sharad mengakui filem ini satu cabaran besar baginya, apatah lagi berbeza dengan filem arahannya sebelum ini yang banyak mengetengahkan unsur muzikal.“Kali ini, saya mendapat bantuan Ahadiat untuk memudahkan saya mengolah jalan cerita yang saya rasakan menarik untuk disampaikan menerusi filem, apatah lagi novel ini antara yang menjadi ikutan ramai.


“Memang sukar memasukkan semua elemen supaya tidak lari daripada jalan cerita asal, namun dengan kerjasama baik penulis lakon layar dan pelakon, saya dapat rasakan filem ini bakal mendapat sambutan,” kata Sharad yang turut mendapat khidmat pengarah sinematografi dari Amerika Syarikat, Mike Muschamp.

Pendapat itu disokong kerja keras barisan pelakon kerana novel ini begitu rapat dengan penonton, khususnya generasi yang membesar dengan penulisan Ahadiat.“Jika mengikut skrip semata-mata, sukar untuk saya menghidupkan watak Kasyah sehinggalah saya membaca novel ini kerana karektor Kasyah bukan mudah untuk dilakonkan.“Ada beberapa babak daripada novel tidak dimasukkan ke dalam filem, namun babak penting yang menghidupkan jalan cerita dikekalkan supaya pembaca novel itu tidak terasa perbezaan di antara filem dan novel,” kata Farid.

Menurut Farid, dia mengakui ada timbul rasa risau kerana harapan tinggi pasti diletakkan oleh pembaca novel itu, namun dia menegaskan filem tidak mampu menjadi seteliti novel yang begitu halus sentuhannya.

Lisa Surihani mengakui pengalaman berlakon dalam filem ini juga berbeza berbanding filem lakonannya terdahulu kerana banyak babak ‘air mata’ sehingga dia terpaksa membaca novel itu dan memahami karektor Ayu yang lemah lembut.“Saya sentiasa meletakkan setiap watak yang diterima sebagai cabaran, walaupun ada pihak akan mengatakan novel lebih baik berbanding filem.“Apa-apa filem yang diadaptasi daripada novel pasti tidak akan sesempurna tulisan asalnya, namun inilah cabaran yang saya dan pelakon lain hadapi,” kata Lisa.

Pendatang baru, Shiqin Kamal turut menyuarakan kebimbangannya sebagai Emilia iaitu Ayu yang berubah rupa selepas kemalangan, tambah lagi dia masih baru dalam dunia lakonan.“Karektor Emilia sinonim dengan Ayu kerana mereka orang sama, jadi saya mesti mendalami cara lakonan Lisa yang membawa watak Ayu.“Mujur pelakon seperti Farid banyak berkongsi cara mendalami watak Emilia supaya tidak lari daripada Ayu,” kata Shiqin mengenai filem yang dijangka ditayang pada hujung tahun ini.

No comments: